Pengendali Cong An Ha Noi FC (CAHN), Mano Polking enggan memandang rendah cabaran KL City FC menjelang aksi keempat Kumpulan B Shopee Cup.
CAHN kekal tanpa kalah dalam 12 perlawanan semua kejohanan sejak tewas kepada Thanh Hoa pada 20 September 2024.
Pasukan itu juga memiliki rekod kemenangan 100% dalam Shopee Cup apabila meraih tiga kemenangan berturut-turut dalam Kumpulan B.
Ini sama sekali berbeza dengan KL City yang tewas dalam tiga aksi terakhir dalam semua kejohanan. Ini termasuk kekalahan 2-0 di tangan Lion City Sailors baru-baru ini.
Meskipun prestasi semasa dilihat memihak juara V. League 1 musim 2022/23 itu, Polking enggan memandang rendah cabaran KL City. Ini kerana juara Piala Malaysia musim 2021 itu mampu mencipta kejutan ke atas CAHN.
“Kita pun baru mendapat keputusan yang mengecewakan (seri 1-1 dengan Song Lam Nghe An) dalam aksi terakhir. (KL City) lawan berbeza, mereka juga mendapat dua kemenangan dalam kejohanan ini,” katanya dalam sidang media pra-perlawanan.
“Mereka juga mahu layak ke separuh akhir seperti kita. Kita kena berhati-hati sebab satu pasukan kalah dalam liga, mereka bermain dalam pertandingan antarabangsa.
“Mereka mendapat motivasi berbeza sebab beraksi dalam kejohanan berbeza. Kita perlu bersedia untuk berlawan dan saya percaya kita akan menghadapi perlawanan yang sukar.”
KL City bakal berdepan CAHN di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 23 Januari. CAHN memburu satu lagi kemenangan untuk mengesahkan kemaraan ke separuh akhir.