Manuel Hidalgo tetap mengenang jasa Kedah Darul Aman FC (KDA FC) meskipun hanya bersama pasukan utara tanah air itu selama semusim.
Ini kerana tempohnya bersama Sang Kenari membantu beliau menambah baik mutu permainan sebagai pemain sayap yang disegani.
“Saya belajar banyak perkara (semasa bersama Kedah). Bukan mudah bila saya berhijrah dari Sri Pahang (FC) ke Kedah tetapi suasananya cukup selesa.
“Makanannya juga lazat. Dan mereka juga ada jurulatih hebat iaitu Nafuzi (Zain), beliau banyak membantu saya. Saya amat menghargai (pasukan) negeri (Kedah) dan para penyokongnya,” katanya.
Sepanjang bersama Kedah pada 2023, Hidalgo merekodkan 27 penampilan, empat gol dan 10 bantuan gol dalam semua kejohanan. Beliau turut membantu Sang Kenari menamatkan kempen liga di tempat keempat.
Selepas tidak bersama pasukan itu, khidmatnya disambar pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT). Hidalgo kemudiannya kembali menyertai Sri Pahang secara pinjaman sehingga akhir musim 2024/25.
Musim ini menyaksikan bekas pemain sayap Triestina itu merekodkan 18 penampilan, tujuh gol dan empat bantuan gol dalam semua kejohanan.
Hidalgo juga merupakan salah seorang daripada dua calon pemain naturalisasi bagi memperkuat kempen Harimau Malaya di pentas antarabangsa.