Pemain sayap Johor Darul Ta’zim (JDT), Manuel Hidalgo layak menyarung jersi Harimau Malaya selepas mendapat kelulusan daripada FIFA.
Pengumuman tersebut dibuat oleh Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Hj. Rahman ketika diminta mengulas tentang status terkini beberapa pemain yang akan dinaturalisasi termasuklah Manuel Hidalgo.
Beliau berkata, pihak FAM baru sahaja menerima kelulusan daripada FIFA berkenaan status kelayakan Manuel Hidalgo bagi mewakili skuad Harimau Malaya pada Rabu, sekali gus membolehkannya tampil bersama pasukan negara.
Malah, beliau menjangkakan senarai nama pemain yang dipanggil bakal diumumkan pada Jumaat sebagai persiapan bagi menghadapi kejohanan FIFA ASEAN Cup 2026 di Jakarta, Indonesia pada penghujung bulan ini.
“Soalan yang bagus, (Manuel) Hidalgo baru dapat (surat kelulusan) dari FIFA semalam (Rabu). Senarai nama pemain Malaysia akan dikeluarkan dalam masa terdekat. Berkemungkinan esok (Jumaat),” ulas Datuk Noor Azman.
“Shane Lowry masih belum lagi,” jawabnya ringkas.
Sebelum ini, rakan sepasukan Hidalgo di JDT iaitu Bergson dan Brad Tapp sudah pun mendapat kelulusan daripada FIFA bagi menyarung jersi skuad negara dan memperkuat cabaran menjelang tempoh antarabangsa FIFA yang akan datang.