Bintang Johor Darul Ta’zim (JDT), Marcos Guilherme sempat berinteraksi santai bersama peminat di laman media sosial.
Nama Marcos Guilherme kini menjadi sebutan ramai peminat apabila menjadi salah seorang penjaring gol ketika JDT atasi Sanfrecce Hiroshima 3-1 dalam aksi AFC Champions League Elite (ACLE) semalam.
Jaringan cantik Marcos Guilherme turut mendapat perhatian apabila satu serangan balas pantas yang bermula dari bawah digerakkan kepada Oscar Arribas berjaya disudahkan pemain Brazil itu.
Sejurus tamat perlawanan, Marcos Guilherme dilihat sempat berinteraksi bersama peminat-peminat melalui soalan santai yang mencerminkan kegembiraannya atas kemenangan JDT.
Dalam nada yang cukup santai, bintang berusia 30 tahun itu bertanya bagaimana beliau mahu tidur setelah menampilkan persembahan hebat ketika membantu JDT mengatasi wakil dari Jepun itu.
“Peminat JDT, saya tanya sekali lagi. Selepas malam hebat seperti ini, macam mana saya mahu tidur?” tanya Marcus Guilherme secara santai di laman Threads, lengkap dengan emoji gelak.
Seperti dijangka, pertanyaan itu menarik perhatian peminat, dengan ada yang menasihatinya agar berehat secukupnya, dan ada pula yang mahu beliau menikmati malam tersebut.
Para peminat turut tidak melepaskan peluang untuk memuji persembahan cemerlang bekas pemain sayap FC Tokyo itu tatkala ada yang mengingatkan agar tidak terleka pada aksi kedua nanti.
Tugas seterusnya bagi Marcos Guilherme serta JDT adalah berdepan Sanfrecce Hiroshima sekali lagi dalam aksi timbal balik ACLE pada 11 Mac 2026 di gelanggang lawan dengan sepak mula tepat jam 6 petang.