Bekas kapten Kelantan FC, Mario Arques akhirnya sah melengkapkan perpindahan ke pasukan Liga Super, PDRM FC sebelum tetingkap perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga M) ditutup tengah malam ini.
Pengumuman perpindahan beliau dibuat Sang Saka Biru menerusi laman media sosial mereka termasuk X lebih sejam yang lalu.
Perpindahan ini menjadikan Arques sebagai rekrut kedua yang menyertai PDRM FC dalam tetingkap perpindahan ini. Sebelum itu, penyerang Perak FC, Hadi Fayyadh Abdul Razak menyertai The Cops secara pinjaman sehingga akhir musim ini.
Kehadiran pemain tengah berusia 31 tahun itu juga melengkapkan sembilan pemain import yang membarisi PDRM FC sehingga akhir musim.
Selain Arques, Sang Saka Biru turut dibarisi oleh Kyaw Min Oo, James Okwuousa, Marcus Macauley, Uche Agba, Bruno Suzuki, Jacque Faye, Fadi Awad dan Nnabuike Chijioke.
Mengikut statistik Transfermarkt, pemain tengah Sepanyol itu beraksi dengan Kelantan FC sebanyak 12 kali dalam semua kejohanan dan merekodkan satu bantuan gol.
Kelibat Arques dijangka dapat dilihat dalam aksi pertama pusingan 16 pasukan terbaik Piala Malaysia 2023 antara Selangor FC dan PDRM FC pada 3 Ogos ini.