Advertisement
Marko Krajlevic: Padang Rumput Beri Kelebihan Kepada Sabah
Asia
MakanBola
Sabah FC

Jurulatih interim Hougang United, Marko Krajlevic mengakui Sabah mempunyai kelebihan ke atas pasukannya kerana sudah biasa beraksi atas padang rumput semulajadi.

Ini memberi kesukaran kepada The Cheetahs kerana mereka sudah biasa beraksi atas padang tiruan di Singapura. Justeru, mereka bakal mengambil sedikit masa untuk beradaptasi dengan keadaan padang.

Begitupun, jurulatih Jerman itu tidak melihat ini sebagai halangan buat anak-anak buahnya meraih kemenangan ke atas Sabah esok. Ini kerana usaha pemain yang menentukan kemenangan mereka dan bukannya rumput padang.

“Ia akan menjadi sukar kerana di Singapura, kita hanya ada satu padang rumput normal dengan selebihnya padang tiruan. Setiap minggu kita bermain di atas padang tiruan, setiap hari. Jadi, (kita bermain di padang semulajadi) dalam latihan semalam, latihan hari ini dan hari perlawanan.

“Saya percaya ini akan beri kelebihan kepada tuan rumah. Saya lihat di Singapura, kita tidak akan dapat kelebihan sebegitu. Ya, ia satu kelebihan (buat Sabah) tapi saya pasti (perlawanan malam esok) ditentukan oleh pemain, bukan rumput,” katanya dalam sidang media pra-perlawanan hari ini.

The Cheetahs bakal berdepan skuad Badak di Stadium Likas dalam aksi pertama Kumpulan H Piala AFC esok.