Advertisements
Masa Depan Arul Selvaraj Bersama Malaysia Telah Terjawab
UltraSukan
UltraSukan
MHC

Teka-teki tentang masa depan ketua jurulatih skuad hoki senior Malaysia, Arul Selvaraj akhirnya terjawab hari ini.

Ini selepas Timbalan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Dato’ Ahmad Najmi Abdul Razak memaklumkan kontrak barisan kejurulatihan skuad hoki senior lelaki dan remaja lelaki telah berakhir.

Ini termasuk kontrak Arul selaku ketua jurulatih skuad senior lelaki The Speedy Tigers.

“Ini disebabkan kontrak mereka (barisan jurulatih) sudah berakhir. Kita tidak pecat sesiapa, kontrak mereka sudah tamat.

“Macam satu lagi perkara Datuk Seri (Subahan Kamal) maklumkan, Jawatankuasa Kejurulatihan (MHC) akan buat keputusan. Akan ada proses untuk memilih jurulatih baru,” katanya kepada UltraSukan.

Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal kemudiannya menambah pemilihan jurulatih baru skuad hoki negara bakal dibuat tidak lama lagi.

Keputusan pemilihan jurulatih baru bakal diputuskan oleh Jawatankuasa Kejurulatihan MHC yang dipengerusikan oleh Dato’ Majid Manjit Abdullah.

“Keputusan (jurulatih baru skuad hoki senior lelaki) itu saya akan serahkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dengan jawatankuasanya di mana Insya Allah akan dibentuk tidak lama lagi.

“Dan (mereka) akan bermesyuarat tidak lama lagi (dan) akan buat apa yang patut. Cara macam mana, saya tak tahu tapi Dato’ Manjit dan jawatankuasa akan buat keputusan tentang cara dan kaedah memilih jurulatih baru.

“Tak kira sama ada jurulatih baru atau lama, saya serahkan kepada Jawatankuasa Kejurulatihan,” ujarnya.

Selepas calon jurulatih baru sudah dikenalpasti, nama calon akan dibawa ke mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif MHC untuk dinilai. Setelah itu, barulah MHC mengumumkan siapa jurulatih baru skuad hoki negara menggantikan Arul.

Arul mulamembimbing skuad negara pada 2020. Di bawah bimbingannya, The Speedy Tigers berjaya menggondol gelaran naib juara Trofi Juara-Juara Asia 2023 dan layak ke Piala Dunia Hoki 2023.