Masa depan bekas pemain Kedah Darul Aman FC, Lee Tuck masih samar tatkala beliau dilihat memberi bayangan untuk meninggalkan Malaysia.
Bintang kelahiran England itu menyertai skuad bimbingan Nafuzi Zain bagi saingan Liga Super 2023 namun hanya bertahan separuh jalan.
Beliau telah mencapai persetujuan dengan pihak pengurusan Sang Kenari untuk menamatkan kontraknya lebih awal sekaligus menjadikan masa depannya sebagai satu tanda tanya.
Bekas pemain Terengganu ini pada awalnya dikaitkan dengan perpindahan ke beberapa kelab di Liga Super namun jangkaan tersebut seakan meleset.
Menurut perkongsian terbaru, Lee Tuck memberi bayangan bahawa beliau akan meninggalkan Malaysia dalam tempoh terdekat.
Perkara ini dikuatkan apabila gambar yang dimuat naik di laman Instagram beliau menunjukkan barangan miliknya sedia dihantar ke luar negara kerana proses pemindahan barang tersebut menggunakan khidmat Crown Relocations -sebuah syarikat pemindahan barang antarabangsa.
Khabar ini sudah pasti memberi seribu tanda tanya selepas beliau sudah pun diberi kerakyatan Malaysia dan bergelar pemain naturalisasi negara.

Pemain bertubuh sasa ini menjadi watak penting selepas beraksi bersama beberapa pasukan namun masa depannya masih menjadi tanda tanya.