Advertisements
Masalah Gaji KL City Akan Selesai Dalam Beberapa Hari
Liga Super
MakanBola
KL City FC

Penyokong KL City FC kini boleh menarik nafas lega kerana isu gaji yang membelenggu pasukan itu akan selesai tidak lama lagi.

Perkara ini dinyatakan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KL City, Stanley Bernard semasa ditemubual wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam untuk Nadi Arena.

Stanley memaklumkan kemelut ini bakal berakhir dalam beberapa hari lagi. Ini bagi memastikan sebarang isu yang timbul pada musim 2023 tidak berbangkit untuk musim 2024-2025.

“Dari segi dalaman, kita memang hendak lakukan dari semalam. Bukan nak kena tunggu sampai nak kena tarik ke apa tapi dari segi kerja perundangan dan hitam putih.

“Kita kena tunggu beberapa hari lagi untuk pastikan benda ini selesai. Kemudian, kita baru berganjak ke musim yang lebih menarik iaitu pada musim hadapan.

“Jadi, dari segi surat-menyurat dan penajaan, untuk memastikan kita memulakan musim dengan selancar yang bolehlah. Tapi pertama sekali, kita kena pastikan isu musim lepas diselesaikan. Dalam beberapa hari akan datang, KL (City) akan berada dalam keadaan baik,” katanya.

Stanley turut melihat dengan tamatnya kemelut gaji yang membelenggu KL City, ini bukan saja memudahkan pasukan itu menarik kehadiran pemain baru.

Malah, berita ini memberi kelegaan kepada barisan pemain The City Boys yang tetap setia bersama pasukan untuk musim 2024-2025.

“Ya, sudah tentu. Bagi mana-mana pemain yang melihat KL (City) dari segi keputusan sejak beberapa tahun ini, saya melihat jika mereka masih belum membuat keputusan untuk ke kelab mana, ini merupakan satu pasukan yang mereka mahu bermain.

“Kerana jika kita dapat selesaikan isu musim lepas, kita boleh iklankan pasukan kepada mereka. Tapi itu bagi sayalah jika berbincang dengan pemain bernama besar.

“Saya merasakan perkara itu perlu diselesaikan dulu. Dan bila kita berganjak ke hadapan, saya fikir ini satu berita yang besar buat para pemain yang masih kekal bersama kita di mana mereka boleh melihat destinasi kita yang seterusnya.

“Dan saya fikir itu kita manfaatkan dalam rundingan kita untuk para pemain,” ujarnya lagi.

Musim 2023 menyaksikan KL City menamatkan kempen Liga Super di tangga ketujuh dan berjaya mara ke final Piala FA.