Bekas penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha menyarankan Terengganu FC untuk fokus kepada saingan Shopee Cup.
Pandangan itu diutarakan beliau selepas melihat Peteh tewas 4-0 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi separuh akhir pertama Unifi Piala Malaysia.
Romel Morales, Arif Aiman Hanapi dan Bergson da Silva mencetak nama sebagai penjaring buat Harimau Selatan dalam perlawanan itu.
Norshahrul yang mesra disapa Matyo melihat Terengganu sukar mengatasi kelebihan jaringan yang dimiliki JDT dalam aksi separuh akhir kedua.
Justeru, beliau melihat Terengganu patut memberi fokus kepada Shopee Cup. Ini kerana pasukan gergasi Pantai Timur itu masih berpeluang untuk mara lebih jauh dalam kejohanan itu.
“Kalau sayalah, saya akan fokus kepada Shopee Cup kerana Terengganu masih berpeluang ke pusingan seterusnya,” katanya semasa menjadi panel Arena Bola.
“Kita tahu Terengganu berada dalam posisi yang agak baik juga bersama KL City dalam kumpulan lain. Untuk aksi PSM Makassar, saya rasa Coach Bad (Badrul Afzan Razali) memiliki strategi tersendiri untuk pasukan mereka.”
Terengganu perlu menang baki dua perlawanan Kumpulan A Shopee Cup sekiranya mereka ingin mara ke separuh akhir.
Mereka akan menentang PSM Makassar di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) pada 22 Januari. Ini disusuli aksi menentang BG Pathum United pada 5 Februari.
Peteh kini mengumpul empat mata selepas mengharungi tiga aksi Kumpulan A Shopee Cup. Terengganu merekodkan satu kemenangan, satu seri dan satu kekalahan.