Bekas pengurus Chelsea, Mauricio Pochettino bakal mewarnai arena bola sepak antarabangsa apabila dilaporkan bakal melatih Amerika Syarikat.
Sebelum ini, pengurus berdarah Argentina itu dipecat The Blues meskipun membimbing pasukan itu meraih kedudukan keenam dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lepas.
Susulan itu, pengurusan Chelsea diketuai pemilik mereka dari Amerika Syarikat, Todd Boehly mengeluarkan pampasan sebanyak £10 juta (RM56 juta) buat beliau.
Kini, Pochettino bakal mewarnai arena bola sepak antarabangsa dengan menerima tawaran kontrak yang disediakan Persekutuan Bola Sepak Amerika Syarikat (USFF).
Selain itu, bekas pengendali Spurs itu turut memiliki hubungan baik dengan Pengarah Teknikal USFF, Matt Crocker. Ini kerana kedua-duanya pernah bekerjasama semasa berada di Southampton sebelum Crocker menerima tawaran sebagai pengarah teknikal Persatuan Bola Sepak England (FA).
Talksport melaporkan Pochettino menerima tawaran tersebut kerana ingin membawa The Stars and Stripes bukan saja ke pentas Piala Dunia 2026. Malah, ini juga peluang buat jurulatih berusia 52 tahun itu membimbing pasukan itu di pentas Sukan Olimpik 2028.
Jawatan jurulatih Amerika Syarikat kosong selepas USFF bertindak memecat jurulatih sebelumnya, Gregg Berhalter. Ini selepas The Stars and Stripes mempamerkan prestasi buruk dalam saingan Copa America 2024.
Susulan itu, Jurgen Klopp kemudiannya dikaitkan dengan jawatan tersebut selepas meninggalkan Liverpool pada akhir musim 2023/24. Walau bagaimanapun, jurulatih Jerman itu menafikan khabar angin berkenaan.
Pochettino dijangka bersua kembali dengan rakan lama di Stamford Bridge, Emma Hayes. Hayes yang kini melatih skuad bola sepak wanita Amerika Syarikat merupakan bekas jurulatih skuad wanita The Blues.
Sebelum Amerika Syarikat, Pochettino turut dikaitkan dengan jawatan pengurus England selepas Gareth Southgate meletak jawatan. Walau bagaimanapun, FA kemudiannya mengumumkan Lee Carsley sebagai pemangku jurulatih sehingga pengganti tetap diumumkan.