Media Arab membocorkan berita perpindahan penyerang Palestin ke Kelantan Darul Naim.
Skuad Kijang Emas melalui tempoh sukar dalam saingan musim 2024/25 apabila menghuni tangga tercorot Liga Super selepas 8 perlawanan.
Kelantan DN merekodkan hanya satu kemenangan dan 7 kekalahan selain hilang dua tonggak utama iaitu Chadrack Muzungu dan juga Valdumar yang membawa haluan baharu.
Usaha memantapkan jentera serangan kembali dimulakan oleh pihak pengurusan apabila abang kepada Odai Kharoub difahamkan menjadi rekrut terbaru Kelantan DN.
Laporan daripada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi juga menyebutkan mengenai usaha Kelantan DN mendapatkan pemain baharu.
“Difahamkan Kelantan Darul Naim (KDN) hampir pasti menandatangani penyerang kelahiran Palestin, Layth Kharoub.
“Beliau juga merupakan abang kepada Kapten, Oday Kharoub.
Pemain berusia 33 tahun itu kini beraksi buat kelab Palestin, Al-Dhahiriya FC namun pergolakan yang berlaku di sana menyebabkan beliau tidak beraksi.
Pemain ini difahamkan memiliki 11 kaps bersama Palestin dan menjaringkan 5 gol buat negaranya selain boleh beraksi pada beberapa posisi serangan.
Setakat ini, tonggak kelahiran Nablus, Palestin itu masih belum disahkan secara rasmi oleh pihak kelab yang giat merencanakan strategi untuk memantapkan Kelantan DN.
Beliau bagaimanapun telah memuat naik gambar bersama Odai Kharoub di tengah ibu kota Kuala Lumpur sekaligus menguatkan lagi berita perpindahan ini.