Keadaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) menjadi perhatian ramai belakangan ini termasuk media-media terkenal dari luar negara.
Menerusi perkongsian Asean Football menyaksikan keadaan padang stadium tersebut menggunakan dron memaparkan pemandangan dari atas SNBJ sebelum perlawanan esok.
“Stadium Bukit Jalil sebelum perlawanan antara Malaysia dan Oman dalam Kelayakan Piala Dunia FIFA 2026,” tulis Asean Football di laman X.
Keadaan padang di SNBJ menjadi perhatian ramai minggu lalu setelah beberapa foto menunjukkan keadaan buruk padang stadium berkenaan sehingga mendapat kritikan ramai.
Walau bagaimanapun, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menafikan gambar tersebut merupakan gambar terkini padang SNBJ ketika ditemui dalam satu sidang media minggu lepas.
Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Dato’ Hans Isaac pula bersikap mengunci mulut tentang hal ini dan hanya memaklumkan kepada para penyokong agar menunggu pada hari perlawanan.
Ketika ditemui dalam sidang media pra perlawanan, jurulatih negara, Kim Pan-gon dijanjikan oleh pihak teknikal PSM bahawa keadaan padang akan dalam keadaan terbaik menjelang pertemua esok.
Stadium keramat Harimau Malaya ini akan menjadi gelanggang kepada pertemuan Malaysia dan Oman pada Selasa dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2026.