Advertisements
“Teknikal Janji Padang SNBJ Elok, Saya Tunggu Esok” – Kim Pan-gon
Harimau Malaya
MakanBola
Azri/MakanBola

Ketua jurulatih Malaysia, Kim Pan-gon dijanjikan padang serba elok oleh pihak teknikal yang menguruskan padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

Perkara ini dikongsikan olehnya ketika sidang media pra perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2026 antara Malaysia dan Oman hari ini.

Pengendali kelahiran Korea Selatan itu sudah berhubung dengan pihak Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) ketika lawatan yang dilakukan bersama Presiden FAM, Dato’ Hamidin Mohd Amin kira-kira dua minggu lalu.

Pihak teknikal menjanjikan bahawa padang Bukit Jalil akan dapat digunakan dengan baik menjelang sepak mula, 26 Mac 2024 jam 10 malam.

Keadaan ini mula menjadi tanda tanya apabila kedua-dua pasukan tidak dibenarkan menjalani latihan sehari sebelum sepak mula di sana.

Menerusi satu kenyataan oleh Pan-gon, beliau memberi kepercayaan penuh kepada PSM untuk menyediakan gelanggang terbaik sungguhpun masih belum melihat keadaan terkini padang.

“Padang Bukit Jalil? Saya tidak lihatnya lagi tetapi pihak teknikal berjanji padang akan berada dalam keadaan baik pada hari perlawanan.”

“Saya menunggu hari esok untuk melihat padang yang baik,” ujarnya kepada media di Wisma FAM.

Jurulatih Oman, Jaroslav Silhavy juga menjangkakan keadaan padang yang kurang baik berikutan cuaca yang tidak menentu ketika ini.

“Malangnya kami tahu cuaca teruk, padang tidak akan bersedia untuk aksi esok, tetapi pemain sudah bersedia dengan keadaan tersebut.”

“Semalam kami diberitahu keadaan padang tidak dalam keadaan baik jadi kami tidak boleh berlatih di sana,” katanya dalam sidang media pra-perlawanan yang berlangsung pada hari ini.