Salah sebuah media di Turki telah melaporkan bahawa pertahanan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Jordi Amat, akan berhijrah ke sebuah kelab di sana iaitu Trabzonspor.
Pemain berusia 31 tahun itu merupakan aset penting bersama Harimau Selatan musim ini terutamanya untuk membantu pasukan mencatatkan kemenangan bersih dalam Liga Super.
Kapten JDT ini bagaimanapun menjadi tumpuan apabila beliau dikatakan akan meninggalkan pasukan.
Bekas bintang Celta Vigo ini dikatakan telah menambat hati pengendali Trabzonspor, Nenad Bjelica yang tidak berpuas hati dengan prestasi pasukanya.
Jurulatih kelahiran Croatia itu menyaksikan pasukannya mencatatkan kemenangan pertama dalam saingan liga musim ini namun masih mahu memantapkan beberapa posisi.
Menurut laporan Turkiyegazetesi, pemain tersebut menjadi sasaran utama dan akan terbang ke Turki dalam tempoh minggu ini untuk melengkapkan perpindahan.
Jordi Amat merupakan pemain pertahanan berpengalaman setelah beraksi bersama beberapa kelab gergasi Eropah seperti Swansea City, RCS Espanyol, Celta Vigo, Real Betis dan KAS Eupen.
Kehilangan beliau sudah pasti memberi impak yang cukup besar kepada JDT namun masih memiliki beberapa pengganti untuk mengisi kekosongan tersebut.