Salah sebuah media terkemuka di United Kingdom (UK) mendakwa bahawa Johor Darul Ta’zim (JDT) mahu mendapatkan khidmat pemain warisan Malaysia.
Baru-baru ini, tular berita mengenai potensi untuk Malaysia mendapatkan pemain warisan baharu dengan nama tonggak Leicester City, Reiss Khela menjadi sebutan.
Pemain berusia 19 tahun itu kini beraksi di England dan difahamkan memiliki pertalian darah menerusi datuknya yang membolehkannya mewakili pasukan kebangsaan Harimau Malaya.
Beliau yang beraksi pada posisi pertahanan serta abangnya, Brandon Khela (21) yang beraksi buat Peterborough United difahamkan layak untuk mendapat panggilan kebangsaan.
Laporan daripada Leicester Xtra mendakwa bahawa JDT yang juga kelab gergasi Liga Super Malaysia berminat untuk mendapatkan khidmat dua pemain ini yang juga layak untuk mewakili pasukan kebangsaan India.
“Juara Malaysia, Johor Darul Ta’zim, berminat untuk mendapatkan khidmat Reiss Khela (Leicester City U21).
“Mereka juga berminat untuk mendapatkan khidmat abangnya, Brandon,” ujar Leicester Xtra di laman X.
Setakat ini, masih tiada pengesahan rasmi daripada kelab mahupun pemain mengenai khabar angin ini dengan kehadiran dua pemain berbakat besar ini sudah pasti penting buat pasukan kebangsaan dalam jangka panjang.