Media UK Lapor JDT Di Ambang Rekod Dunia
MakanBola
Johor Southern Tigers

Sebuah akhbar United Kingdom melaporkan Johor Darul Ta’zim (JDT) semakin hampir melakar rekod baru dunia.

Akhbar The Guardian melaporkan JDT kini berpeluang memintas kelab Ivory Coast, ASEC Mimosas dan memegang rekod baru dunia untuk siri perlawanan tanpa kalah paling panjang di dunia.

Ketika ini, JDT dan ASEC Mimosas berkongsi rekod 108 perlawanan tanpa kalah. JDT menyamakan rekod tersebut dalam aksi terakhir Liga Super musim lalu menentang Kelantan The Real Warriors FC (KTRW FC).

Kini, JDT berpeluang memintas rekod itu menerusi aksi Piala Sumbangsih menentang Kuching City FC di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada 21 Ogos ini.

Aksi ini bukan saja peluang buat kedua-dua pasukan meraih trofi pertama dan tiga mata penuh musim ini. Malah, jika JDT berjaya mengelak kekalahan, itu sudah cukup buat pasukan gergasi selatan tanah air itu merekodkan 109 perlawanan tanpa kalah.

Rekod baru ini berpotensi sekali gus meleburkan rekod ASEC Mimosas yang bertahan selama 32 tahun. Jurulatih JDT, Xisco Munoz mengakui ini potensi rekod sejarah yang hebat buat juara Liga Super 12 kali itu.

“Sekarang hanya satu perlawanan. Garisan antara kejayaan atau kekecewaan sangat rapat. Ini penting. Kami hampir mencipta sejarah untuk perlawanan tanpa kalah berturut-turut. Ini bukan perkara biasa dalam bola sepak,” katanya.