Pasukan Melaka akhirnya menemui ketua jurulatih baharu bagi meneruskan cabaran dalam saingan Liga Super dan Piala Malaysia musim ini.
Sebelum ini, pengurusan Melaka membuat keputusan untuk menamatkan khidmat K. Devan susulan beberapa keputusan Liga Super yang kurang memberangsangkan, sekali gus menimbulkan kegusaran dalam kalangan penyokong setia pasukan.
Selepas ketiadaan K. Devan, tugasan selaku ketua jurulatih dipangku oleh S. Subramaniam, namun tempoh tersebut sudah berakhir.
Seterusnya, wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi melaporkan E. Elavarasan bakal dilantik sebagai pengendali baharu Melaka.
Bekas ketua jurulatih Kelantan The Real Warriors itu dijangka menggalas tanggungjawab memimpin Melaka bagi baki perlawanan Liga Super dan Piala Malaysia musim ini.
“Difahamkan bekas pengendali Kelantan The Real Warriors, E. Elavarasan bakal dilantik sebagai ketua jurulatih baharu Melaka FC.”
Selain itu, penolong E. Elavarasan ketika bersama Kelantan The Real Warriors turut dijangka mengikut jejak langkahnya ke Melaka bagi memperkukuh barisan kejurulatihan pasukan.
“Penolong beliau di KTRW, Muamer Salibasic dijangka turut menyertai barisan kejurulatihan Melaka FC bagi mengharungi baki saingan Liga M musim ini,” kata Fadhirul Shuhaimi menerusi satu hantaran di laman X miliknya.
Sekiranya pelantikan ini dimuktamadkan, Melaka bakal menjadi kelab ke-10 dalam karier kejurulatihan E. Elavarasan, selain pengalamannya bersama pasukan kebangsaan.