Memori Manis 2022 & 2025 Berulang
MakanBola
The AFC

Dua memori manis yang dilakar Johor Darul Ta’zim (JDT) pada tahun 2022 dan 2025 kini berulang kembali.

JDT masih lagi segar dengan kemenangan 1-0 ke atas kelab Jepun, Vissel Kobe dalam perlawanan terakhir peringkat liga AFC Champions League Elite (ACLE) Zon Timur pada Selasa.

Jaringan tunggal Marcos Guilherme pada babak yang kedua sudah cukup buat JDT mara pusingan kalah mati ACLE hasil kedudukan semasa dalam kelompok 8 kelab terbaik selepas tamat 8 aksi.

Kejayaan layak ke peringkat kalah mati di pentas tertinggi Asia ini sememangnya meninggalkan satu nostalgia manis buat JDT selepas turut melakukannya ketika musim 2022 dan 2024-2025.

Pada musim 2022 tersebut, aksi JDT vs Ulsan HD di Stadium Sultan Ibrahim menjadi detik yang paling mendebarkan untuk penyokong Harimau Selatan sebelum mencatat kemenangan dramatik 2-1.

Jaringan sendiri oleh pemain Ulsan HD pada minit-minit akhir perlawanan memberikan kemenangan tipis 2-1 namun makna yang begitu besar kepada JDT untuk mara ke pusingan kalah mati ACL buat kali pertama.

Memori manis sama turut dirasai musim lalu apabila JDT di bawah bimbingan Hector Bidoglio berjaya lolos ke pusingan 16 terbaik selepas kekal dalam kelompok 8 pasukan teratas sebaik tamat peringkat liga.

Ketika itu, JDT berjaya memperoleh kemenangan 5-2 ke atas Pohang Steelers di laman sendiri sekaligus layak ke pusingan kalah mati kejohanan kelab tertinggi di Asia untuk kali kedua dalam sejarah kelab.

Kini, pencapaian sama berulang kembali pada musim kali ini dengan kedudukan terkini JDT berada di tangga ke-6 ACLE Zon Timur dan lawan seterusnya bakal diketahui tidak lama lagi.