Kepulangan bekas pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon ke Malaysia menjadi bualan hangat.
Jurulatih berusia 57 tahun itu dikaitkan dengan kepulangan ke Malaysia selepas kali terakhir bersama jaguh Korea Selatan, Ulsan HD.
Pan-gon dikhabarkan bakal kembali menghangatkan kancah bola sepak negara apabila dijangka mengisi kekosongan selaku ketua jurulatih Selangor FC.
“Kim Pan Gon is back, difahamkan bekas jurulatih Harimau Malaya itu kembali dikaitkan ke Liga Malaysia dengan sekali lagi ke Selangor.
“Ini selepas rundingan bersama sebuah pasukan tidak menjadi kenyataan,” ujar laporan Zulhelmi Zainal Azam.
Pan-gon telah membimbing Malaysia selama dua tahun bermula 2022 dan membimbing Harimau Malaya mengharungi 34 perlawanan – 20 kemenangan, empat seri dan 10 kekalahan.
Bukan itu sahaja, beliau memiliki pengalaman luas pada peringkat kelab yang memiliki reputasi besar di Asia seperti Ulsan HD, Busan I Park dan juga Gyeongnam.
Pan-gon juga pernah menjawat jawatan selaku Pengarah Teknikal bersama Persatuan Bola Sepak Korea (KFA) selama 4 tahun dan mengetahui selok-belok bola sepak dengan lebih menyeluruh.
Pengalaman tertinggi pada peringkat kelab dalam kancah AFC Champions League Elite (ACLE) dan pasukan kebangsaan bakal menjadi tonik luar biasa buat Selangor sekiranya benar-benar mendapatkan sentuhan Kim Pan-gon.