Mesir bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk mengikat pasukan ke-111 terbaik dunia, Mozambique pada perlawanan Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) awal pagi tadi selepas diselamatkan ketua pasukan Mesir, Mohamed Salah menerusi sepakan penalti pada minit ketujuh masa kecederaan dengan keputusan seri 2-2.
Persembahan lebih kemas dan bertenaga detik-detik akhir di Stadium Felix Houphouet Boigny itu menjadi titik perubahan Mesir yang berjaya dihadiahkan penalti selepas semakan VAR oleh pengadil kerana kekasaran yang berlaku ke atas Mostafa Mohamed dalam kotak penalti.
Mesir yang mendominasi perlawanan sejak minit pertama, membuka tirai jaringan apabila Mostafa Mohamed mengegar jaring pada minit ke-2, selepas memanfaatkan sepakan yang terlepas daripada Mohamed Salah di dalam kotak penalti.
Usaha yang dilakukan Mozambique yang dibimbing pengendalinya, Francisco Queriol Conde akhirnya membuahkan hasil apabila berjaya memecah kebuntuan dalam separuh masa kedua pada minit ke-55 dengan tandukan deras penyerang Mozambique, Witi sekaligus menewaskan penjaga gol Mesir, Mohamed El Shenawy.
Mozambique terus bangkit untuk melakar sejarah mencatat kemenangan sulung dalam AFCON apabila berjaya menyumbat jaringan gol yang kedua selepas dua minit daripada gol yang pertama menerusi sepakan daripada Clesio Bauque pada minit ke-57.
Bagaimanapun, bintang Liverpool, Mohamed Salah akhirnya menceriakan kembali skuad The Pharaohs apabila meledak gol penyamaan menerusi sepakan penalti pada minit ketujuh masa kecederaan.
Aksi berikutnya Mesir akan bertemu Ghana awal pagi Jumaat ini sebelum menentang Cape Verde pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan. Manakala Mozambique akan bertemu Cape Verde pada aksi kedua kejohanan Piala Negara-Negara Afrika (AFCON).