Mesir Malukan Skuad Muda Sepanyol, Layak Ke Suku Akhir
MakanBola
Seleccion Espanola Masculina
Sponsors

Wakil Afrika Utara, Mesir mencipta kejutan dengan menjuarai Kumpulan C Sukan Olimpik 2024 selepas menewaskan pasukan gergasi Eropah, Sepanyol.

La Roja hanya memerlukan keputusan seri atau kemenangan untuk menjuarai Kumpulan C selepas mengesahkan kelayakan ke suku akhir. Sementara The Pharoahs pula perlu menang jika ingin mara ke suku akhir.

Ad

Pemain tengah menyerang Rayo Vallecano, Sergio Camello mengetuai cabaran Sepanyol. Sementara bekas pemain Arsenal, Mohamed Elneny mengetuai cabaran Mesir.

Separuh masa pertama menyaksikan Sepanyol berusaha mendapatkan kelebihan gol awal menerusi Samu Omorodion. Omorodion mendapat sokongan trio penyerang berbakat iaitu Camello, Diego Lopez dan Aimar Oroz.

Ad

Ini menyebabkan barisan pertahanan The Pharoahs diketuai Omar Fayed bekerja keras menyerap setiap asakan yang dikenakan La Roja.

Ad

Percubaan terbaik Sepanyol hadir pada minit ke-24 menerusi Adrian Bernabe. Malangnya, percubaan pemain tengah Parma itu dinafikan penjaga gol Mesir, Hamza Alaa.

Ad

Tatkala La Roja berusaha menembusi gawang The Pharoahs, pasukan Afrika Utara itu mendahului pada minit ke-40 menerusi Ibrahim Adel.

Pemain sayap Pyramids itu meledakkan satu rembatan kencang yang menewaskan penjaga gol Sepanyol, Alejandro Iturbe. Keputusan 1-0 kekal sehingga rehat.

Bersambung selepas rehat, pengendali La Roja, Santi Denia membuat dua pertukaran pemain termasuk memasukkan pemain Manchester City, Sergio Gomez.

Pertukaran taktikal ini menyebabkan Sepanyol terus mengasak Mesir untuk mendapatkan gol penyamaan. Omorodion hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-57 tetapi percubaannya disekat Alaa.

Tatkala Sepanyol terus mengetuk pintu gawang The Pharoahs, gawang mereka bocor lagi pada minit ke-64. Adel menjadi duri dalam daging kepada La Roja dengan meledakkan gol keduanya dalam saingan Olimpik.

Adel Sepanyol Egypt National Team Mesir Malukan Skuad Muda Sepanyol, Layak Ke Suku Akhir
Ibrahim Adel meraikan jaringannya semasa menentang Sepanyol. Sumber: Egypt National Team

Keadaan ini mendorong Denia membuat tiga lagi pertukaran pemain dengan harapan dapat mengubah momentum permainan kembali memihak kepada Sepanyol.

Gol yang dicari La Roja muncul pada minit ke-90 menerusi Omorodion. Malangnya, gol tersebut sudah terlambat untuk menghalang Mesir yang dibimbing Rogerio Micale daripada meraikan kemenangan pada akhir perlawanan.

Keputusan ini menyaksikan Mesir muncul juara Kumpulan C selepas merekodkan dua kemenangan dan satu seri. Meskipun tewas, Sepanyol tetap mara selaku naib juara kumpulan.

Sofascore memilih Adel sebagai pemain terbaik perlawanan susulan dua golnya buat Mesir. Beliau mendapat markah 8.6, jauh meninggalkan Fayed.

Selepas ini, The Pharoahs akan menanti juara naib juara Kumpulan D dengan Sepanyol berdepan cabaran juara kumpulan sama di peringkat suku akhir. Kesemua perlawanan ini akan berlangsung pada 2 Ogos ini.