Meskipun Harimau Malaya Tewas, Statistik Cerita Sebaliknya
MakanBola
Changsuek

Harimau Malaya mempamerkan petanda baik sungguhpun tewas menentang Thailand pada aksi ketiga ASEAN Hyundai Cup 2026.

Skuad kendalian Tan Cheng Hoe bermula baik menerusi asakan bertali arus sebelum sepakan penalti Thailand membuka cerita indah tuan rumah di Stadium Rajamangala.

Harimau Malaya terus dihukum menerusi jaringan kedua oleh Teerasak Poeiphimai pada babak kedua yang menyaksikan Malaysia pulang hampa.

Walau bagaimanapun, skuad kebangsaan mempamerkan tiga perkara positif menjelang aksi bertemu Filipina bagi perlawanan terakhir kumpulan.

Cheng Hoe telah membuka ruang buat tiga pemain muda untuk terus beraksi buat Harimau Malaya iaitu pertahanan kanan, Alif Ahmad (23), Faris Danish (20) dan juga pemain sayap lincah, G. Pavithran (21).

Bukan itu sahaja, jurulatih berusia 58 tahun itu juga membuka ruang kepada pemain baharu seperti Aliff Haiqal Lau untuk beraksi dalam kesebelasan utama selain kemasukan Wan Kuzain Wan Kamal menambah kreativiti jentera tengah skuad kebangsaan.

Statistik laman Sofascore menunjukkan Malaysia mempamerkan satu persembahan yang cukup berani – menguasai 43 peratus permainan selain melakukan 12 percubaan, satu angka yang lebih tinggi berbanding tuan rumah pada perlawanan tersebut (7).

Malaysia turut mempamerkan keberanian melakukan percubaan dari luar kotak penalti (9) berbanding Thailand (2) selain memperoleh 18 sepakan percuma hasil permainan bijak untuk memerangkap pemain lawan melakukan kesalahan.

Harimau Malaya bakal beraksi bagi perlawanan terakhir Kumpulan A menentang Filipina pada 8 Ogos 2026 di Stadium

Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras jam 9.00 malam (waktu Malaysia).