Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) memperkenal kuota baharu bagi pemain import yang membolehkan setiap kelab mendaftarkan 10 pemain import bagi kelab Malaysia yang beraksi di Asia.
Menerusi satu kenyataan rasmi oleh MFL, sungguhpun Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dijangka akan mengumumkan peraturan pemain asing tanpa had untuk pertandingan kelab AFC, MFL membuat keputusan tidak akan mengikut kuota tersebut.
“MFL mengekalkan kuota sembilan (9) pemain import dalam pendaftaran bagi musim 2024-2025 dan hanya pasukan-pasukan yang bersaing di pertandingan AFC iaitu AFC Champions League Elite (ACLE) dan ACL 2 serta pertandingan kelab ASEAN (AFF) dibenarkan mendaftar tambahan satu (1) pemain import.”
Hal ini bermaksud kelab yang beraksi di Asia boleh mendaftarkan seramai 10 pemain import dalam satu-satu masa.
Walau bagaimanapun, selepas menerima beberapa permintaan daripada kelab lain, MFL bersetuju untuk menambah kuota pemain import yang beraksi di atas padang.
“Namun selepas menerima permintaan beberapa kelab MFL serta mendapat persetujuan oleh kelab-kelab Liga Malaysia yang lain, MFL mengumumkan penambahan kuota seorang pemain import di atas padang untuk musim 2024-2025,” ujar MFL.
“Ini bermakna kuota musim 2024-2025 yang dipersetujui semua pasukan adalah 6 pemain import (iaitu 4+1 (Asia)+1 (Asean) dibenarkan berada di atas padang pada satu-satu masa dengan seorang pemain di bangku simpanan.”
MFL bagaimanapun mengingatkan kepada semua kelab agar mengambil pemain import mengikut kesesuaian percaturan serta kemampuan kewangan masing-masing.