Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Giorgio Pompili Rossi memaklumkan pengendali liga itu bersedia membantu Kedah Darul Aman FC (KDA FC).
Sejak awal musim 2024/25, Kedah bergelut dengan masalah kewangan terutama isu tunggakan gaji. Situasi ini menyebabkan pemain pasukan berkenaan beberapa kali tidak turun menjalani latihan sebagai tanda protes terhadap apa yang berlaku.
Situasi tersebut turut mendorong beberapa tonggak utama Sang Kenari memilih meninggalkan kelab itu dalam tetingkap kedua perpindahan Liga Malaysia (Liga M).
Antara pemain yang berbuat demikian ialah Kalamullah Al Hafiz Mat Rowi, Fikri Che Soh dan bekas kapten Terengganu FC, Habib Haroon.
Rossi memaklumkan MFL bersedia membantu Kedah menyelesaikan kemelut kewangan pasukan itu dengan syarat mereka telah mengambil langkah awal dari segi solusi.
“Bukan MFL yang boleh perbaiki semuanya. Semua pihak (pemegang taruh) harus memainkan peranan mereka.
“Dan berdasarkan perbualan saya dengan mereka (pengurusan Kedah), saya amat berharap selepas bercakap dengan mereka baru-baru ini akan ada penambahbaikan. Ini kerana Kedah sebuah pasukan yang besar,” katanya kepada Nadi Arena.
Rossi berharap kemelut kewangan yang membelenggu Kedah dapat diselesaikan. Ini kerana beliau percaya ini akan meningkatkan lagi kehadiran penyokong pasukan itu di Stadium Darul Aman.
“Ya, sudah tentu saya ingat dengan jelas. Tetapi berdasarkan masa saya di sini sebelum ini, saya ingat beberapa bulan lalu, saya lihat penyokong Kedah memakai kostum (di stadium).
“Dan saya harap dapat melihat mereka kembali secepat mungkin macam sebelum ini. Itu 100% daripada pihak saya dan MFL,” ujarnya.
Kedah ketika ini berada di kedudukan ke-10 liga dengan 13 mata. Ini selepas Sang Kenari tewas 4-2 kepada Sabah FC dalam aksi liga pada 29 Oktober lalu.