Liaoning Women’s HT menamatkan saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) 2024 dengan kemenangan setelah membenam cabaran Mutiara Impian MSSPP-HSPA pada Khamis.
Liaoning turun pada perlawanan terakhir ini dengan misi meraih kemenangan bagi memastikan kejuaraan menjadi milik pasukan dari China ini setelah tumbang 0-1 kepada pencabar, Malaysian University sebelum ini.
Di separuh masa pertama, jelas penguasaan bola didominasi oleh Liaoning seterusnya membawa kepada jaringan pertama menerusi pukulan sudut penalti Wang Lihang pada minit ke-18.
Liaoning terus mengasak dan berjaya menggandakan jaringan menerusi Wang Libin yang pantas menyambut hantaran rakan sepasukan dari sebelah kiri pintu gol Mutiara Impian.
Du Wenxuan meletakkan Liaoning terus selesa dengan kedudukan 3-0 selepas mudah menyempurnakan pukulan sudut penalti yang diberikan pengadil pada minit ke-25.
Gol keempat Liaoning hadir menerusi Wang Lan setelah penjaga gol Mutiara Impan, Nur Aini Yusri gagal menampan kemas pukulan sudut penalti pemain China tersebut.
Mutiara Impian tidak mengalah dan berjaya menjaringkan gol menerusi Nor Alya Adawiyah yang bijak melepasi pertahanan Liaoning sebelum melepaskan pukulan kencang untuk gol pertama pasukan.
Separuh masa tamat, Liaoning Women’s HT 4-1 Mutiara Impian MSSPP-HSPA.
Babak kedua menyaksikan Liaoning tidak menunggu lama untuk menjaringkan gol kelima menerusi gerakan solo Wang Lihan sebelum beliau melengkapkan hatrick pada minit ke-50 untuk kedudukan 6-1.
Tiga minit sebelum tamat, Wang Lihan terus mengganas dengan gol keempat peribadi dan juga gol ketujuh Liaoning sebelum Zhao Anqi menutup perlawanan dengan gol kelapan wakil China itu seminit kemudian.
Tamat perlawanan, Liaoning Women’s HT 8-1 Mutiara Impian MSSPP-HSPA.
Kemenangan ini menyaksikan Liaoning mengakhiri saingan liga dengan 21 mata daripada sembilan perlawanan dan kini berjaya menduduki tangga pertama buat sementara waktu.
Pasukan jemputan dari China ini perlu menunggu keputusan melibatkan satu lagi pasukan iaitu Malaysian University yang akan turun menentang CS Mustang HT selepas ini.