Skuad hoki wanita Malaysian University (MU) muncul juara Liga Hoki Malaysia (MHL) Wanita untuk musim 2024.
Kejayaan itu dicapai selepas anak buah Lailin Abu Hassan berjaya mengetepikan cabaran Combined State Mustang Hockey Team (CS Mustang HT) dalam perlawanan terakhir liga hari ini.
Selepas berjaya mengalahkan Liaoning Women’s HT 1-0 dalam perlawanan sebelumnya, MU dilihat berada pada kedudukan terbaik untuk meraih kejuaraan liga.
Mereka hanya perlu menewaskan CS Mustang HT bagi mengesahkan kejuaraan MHL secara rasmi.
Bagaimanapun, MU ketinggalan menerusi gol Nur Irdina Asnida Mohd Yusmi pada minit kelapan untuk meletakkan CS Mustang HT di hadapan.
MU berjaya mengejar dan menyamakan kedudukan menerusi Nurmaizatul Hanim Syafi Binti Shiek Fuad pada minit ke-12.
Gol kemenangan MU diraih dua minit sebelum rehat menerusi Dian Nursyakira Najwa Al-Wadqa Binti Nazeri yang menewaskan penjaga gol CS Mustang HT, Azween Zureen Zahari.
Bersambung selepas rehat, kedua-dua pasukan berusaha mendapatkan gol tambahan tetapi tidak berhasil. Keputusan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan.
Ini trofi kedua yang diraih MU untuk musim 2024. Sebelum itu, MU muncul juara Piala Sumbangsih 2024 selepas mengatasi skuad hoki wanita Negeri Sembilan.
MU muncul juara mengatasi Negeri Sembilan menerusi penentuan shoot-out 3-0 selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 dalam tempoh 60 minit perlawanan.