Terengganu Hockey Team (THT) terus membuktikan status sebagai pasukan handalan Liga Hoki Malaysia (MHL) musim 2024.
Ini selepas pasukan dari Pantai Timur itu meraih kemenangan besar ke atas Jiwa Mohan Antbees 7-1 dalam aksi terbaru MHL di Stadium Hoki Bukit Jalil 1 hari ini.
THT perlu menang hari ini bagi merapatkan jurang dengan tiga pasukan teratas iaitu Maybank, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan NurInsafi Sporting.
THT yang dibimbing Mohd Harfizi Baharom itu tidak berdepan masalah mengalahkan pasukan lawan yang dibarisi ramai pemain muda itu.
Kemenangan hari ini memastikan THT kekal tanpa kalah dalam liga selepas empat perlawanan.
Keputusan ini membolehkan mereka menduduki tangga keempat MHL dengan 10 mata, tiga mata di belakang pendahulu baru liga, Maybank.
Maybank merampas takhta pendahulu liga daripada NurInsafi Sporting selepas membelasah TNB Thunderbolts 5-0. NurInsafi Sporting kekal di tangga kedua dengan 12 mata.
Sementara TNB pula menduduki tangga ketiga MHL dengan 11 mata selepas meraih kemenangan besar 13-1 ke atas pasukan jemputan dari China, Liaoning Men’s Hockey Team (Liaoning).