Juara bertahan Liga Hoki Malaysia (MHL) musim 2023, Terengganu Hockey Team (THT) mengekalkan rekod tanpa kalah mereka dengan menewaskan Young Elephants-Pahang 5-1 hari ini.
THT memerlukan kemenangan hari ini bagi memberi tekanan ke atas dua pasukan yang menduduki kelompok teratas liga, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Maybank.
Sementara Young Elephants-Pahang pula berharap dapat meraih kemenangan untuk memintas KL City yang menduduki tangga kesembilan liga.
Meskipun menurunkan barisan pemain tempatan, THT merupakan pasukan pilihan kerana dianggotai ramai bekas pemain atau pemain kebangsaan.
Mereka perlu menunggu sehingga minit akhir suku pertama untuk mendahului menerusi jaringan Faizal Saari.
THT semakin selesa di hadapan apabila Arif Syafie Ishak mudah menyempurnakan pukulan penalti menewaskan penjaga gol Young Elephants-Pahang, Muhd Danish Haikal Muhd Saufi pada minit ke-21.
Young Elephants-Pahang berusaha memberi tekanan ke atas THT tetapi keputusan 2-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung selepas rehat, THT yang dibimbing Mohd Harfizi Baharom terus ghairah memburu gol tambahan.
Gol yang dicari hadir pada minit ke-34 menerusi Akhimullah Anuar Esook. Meskipun Young Elephants-Pahang berjaya menafikan pukulan penalti THT, pukulan susulan Akhimullah gagal disekat Danish Haikal.
Young Elephants-Pahang semakin tertekan apabila Faizal menyumbat gol keempat THT pada minit ke-53.
Salah faham antara barisan pertahanan THT membuka ruang buat penyerang Young Elephants-Pahang, Mohd Handzalah Abdul Hadi menyumbat gol pada minit ke-56.
Ismail Abu mengembalikan kelebihan empat gol THT dengan menyempurnakan hantaran Sukri Mutalib dalam kawasan D untuk gol pada minit ke-57. Keputusan 5-1 kekal sehingga tamat perlawanan.