Skuad Tenaga Nasional Berhad (TNB) Thunderbolts mencatat kemenangan keempat dalam Liga Hoki Malaysia (MHL) musim 2024.
Ini selepas pasukan itu membelasah Jiwa Mohan (JM) Antsbees dalam aksi terbaru MHL yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional 1 hari ini.
TNB Thunderbolts yang dibimbing M. Kaliswaran berharap dapat memperkukuh cengkaman di tangga keenam liga.
Dan mereka tidak menunggu lama berada di hadapan menerusi Syamim Naim Abdul Hamid pada minit keenam.
Tujuh minit kemudian, JM Antsbees semakin ketinggalan apabila pukulan penalti Azimuddin Syakir Kamaruddin terkena kayu hoki Zufar Saiful Marsita sebelum menerjah jaring.
Seminit selepas itu, Muhamad Amirul Haniff Mamat meletakkan TNB Thunderbolts semakin selesa di hadapan menerusi pukulan penalti.
Suku kedua menyaksikan S. Karthikesan merapatkan jurang buat JM Antsbees menerusi pukulan penalti pada minit ke-20. Keputusan 3-1 kekal sehingga rehat.
Suku ketiga menyaksikan TNB Thunderbolts kembali memulihkan kelebihan tiga gol mereka menerusi pukukan penalti Amirul pada minit ke-33.
TNB Thunderbolts terus dominan dengan meledakkan gol kelima menerusi Irfan Shah Shahrudin pada minit ke-36.
JM Antsbees makin derita apabila Amirul mencipta hatrik menerusi satu lagi pukulan penalti yang menewaskan penjaga gol Wan Jun-yong.
Sebelum suku ketiga berakhir, JM Antsbees menambah gol kedua pada minit ke-45. Ini selepas Eswaran George menyempurnakan penalti stroke melepasi penjaga gol TNB Thunderbolts, Rafaizul Mohamad Saini.
Suku keempat menyaksikan Amirul menambah gol keempat menerusi pukulan penalti pada minit ke-53. Ini disusuli gol padang Naaveennash Panicker a/l S. Thevendran seminit selepas itu.
TNB Thunderbolts berusaha mencari gol tambahan tetapi keputusan 8-2 kekal sehingga tamat perlawanan.