Pertemuan dan perpisahan sememangnya lumrah dalam sebuah kehidupan. Itu yang terjadi kepada pemain pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Izham Tarmizi dan isterinya yang juga seorang pelakon, Mia Ahmad.
Berita perpindahan Izham keluar dari JDT telah tersebar sejak bulan lalu lagi. Izham dikatakan akan menyertai Sri Pahang FC bersama seorang lagi pemain JDT iaitu pertahanan kiri, Syazwan Andik.
Berita itu dikuatkan lagi dengan video yang dimuatnaik Mia Ahmad di Tiktok. Video tersebut memperlihatkan Mia dan Izham seperti dalam proses mengemas rumah dan terlihat sebuah lori yang sarat dengan perkakasan rumah.
Mia juga sempat menulis kapsyen dengan merakam penghargaan kepada pasukan JDT yang mana menjadi pasukan diwakili Izham sejak penghujung tahun 2014 lagi.
“Terima kasih JDT untuk segalanya,” coret Mia di laman Tiktoknya.
Musim ini khidmat Izham banyak digunakan untuk pasukan JDT II dan beliau hanya membuat satu penampilan bersama skuad utama JDT iaitu pada kempen Liga Juara-Juara AFC menentang Kawasaki Frontale yang mana menyaksikan JDT menang 2-1.