Michael Carrick Pertikai Keputusan Pengadil EPL
MakanBola
Manchester United

Jurulatih interim Manchester United, Michael Carrick melabel keputusan kad merah terhadap Lisandro Martinez antara keputusan pengadilan terburuk yang pernah dilihatnya.

Pandangan itu dibuat beliau selepas melihat The Red Devils tewas 2-1 kepada Leeds United di Old Trafford.

United dibolosi dua gol menerusi pemain The Whites, Noah Okafor pada separuh masa pertama. Casemiro merapatkan jurang buat tuan rumah tetapi keputusan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Satu perkara yang mencetuskan kemarahan United ialah kad merah yang diterima Martinez. Ini selepas VAR mengesan bek tengah Argentina itu menarik rambut Dominic Calvert-Lewin.

Carrick melabel keputusan tesebut mengejutkan dan membandingkannya dengan beberapa insiden lain yang berlaku dalam perlawanan sama.

“Dua perlawanan berturut-turut, kita ada keputusan sebegini yang berlawanan dengan kita. Tetapi keputusan ini salah satu daripada keputusan (pengadil) terburuk yang saya pernah lihat.

“Anda boleh menyiku Leny Yoro untuk gol pertama, anda boleh tolak tangan ke muka Martinez dan atas sebab itu, beliau hilang keseimbangan. Disebabkan hal berkenaan, beliau menyentuh sedikit rambut sehingga menarik tocang rambut keluar.

“Saya tak tahu apa yang dilihat, itu bukan tarikan, ia tidak agresif. Beliau menyentuhnya dan beliau dibuang padang,” katanya kepada Sky Sports.

Kapten United, Bruno Fernandes turut senada dengan Carrick. Fernandes mendakwa peraturan yang diaplikasikan kepada pasukan itu berbeza dengan pasukan-pasukan lain.

“Kalau saya bercakap tentang pengadil, saya akan berdepan masalah besar. Saya tak nak cakap tentang itu kerana peraturan berbeza untuk semua orang, diaplikasikan berbeza untuk semua orang.

“Perbezaan dari segi kad kuning, anda boleh lihat. Lebih baik saya tidak cakap apa-apa (tentang mutu pengadilan),” ujarnya.

Keputusan ini menyaksikan United dan Aston Villa berkongsi 55 mata. Meskipun begitu, The Red Devils kekal di tangga ketiga dari segi kelebihan jaringan.

Hal ini dijangka memeningkan kepala Carrick menjelang aksi liga terbaru menentang Chelsea pada 19 April ini.