Advertisements
Miroslav Kuljanac Dilantik Ketua Jurulatih KL City
Liga Super
MakanBola
KL City FC

Selepas menghela nafas lega kerana kemelut kewangan yang dilalui sudah berakhir, KL City FC membuka era baru dengan melantik Miroslav Kuljanac sebagai ketua jurulatih baru pasukan.

Perlantikan jurulatih Croatia berusia 53 tahun itu diumumkan KL City menerusi platform media sosial mereka hari ini.

Perlantikan ini dibuat bukan saja untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan jurulatih sebelumnya, Nenad Bacina.

Malah, pengurusan The City Boys mahu mengekalkan kesinambungan barisan kejurulatihan sebelumnya ke atas pasukan. Kuljanac sebelum ini merupakan pembantu jurulatih kepada Bacina dan Bojan Hodak.

Kuala Lumpur City Football Club mengesahkan perlantikan Miroslav Kuljanac sebagai ketua jurulatih The City Boys untuk musim 2024/25.

“Kuljanac atau mesra disapa Kuljo merupakan penolong jurulatih Bojan Hodak dan bertanggungjawab melatih pasukan secara interim semasa merekodkan kemenangan besar ke atas Kelantan FC dan Penang FC sebelum kepulangan Nenad Bacina pada musim lepas. Selamat berjaya Kuljo!” kata kelab dalam satu kenyataan.

Kuljanac dalam satu kenyataan melihat tanggungjawab ini sebagai satu penghormatan kepada dirinya.

Beliau berharap dapat terus mengulangi kecemerlangan yang diraih KL City sejak beberapa musim lalu.

“Kita sebuah kelab yang sedang membangun dengan jiwa yang besar akan dapat bersaing pada tahap tertinggi seperti mana yang kita lakukan dalam tiga musim yang lepas.

“Kita percaya kita akan memberi perkara yang menceriakan penyokong kita,” katanya.

Kuljanac bakal memimpin skuad The City Boys untuk kempen pra-musim sebelum saingan liga bermula pada Mei ini.