Live

Misi Getir Di Guangzhou, Saksikan Siaran Langsung Percuma China vs Malaysia

Malaysia Team Asean Misi Getir Di Guangzhou, Saksikan Siaran Langsung Percuma China vs Malaysia
Malaysia NT

Misi getir menanti di Guangzhou, China tatkala aksi China vs Malaysia bakal berlangsung, malam ini.

Advertisement

Bagi Harimau Malaya, setiap mata ranking FIFA amat bernilai kerana ia membantu memperbaik kedudukan pot dalam undian kelayakan Piala Dunia 2030 dan Piala Asia 2032.

Harimau Malaya tiba di China dengan momentum yang cukup meyakinkan. Skuad negara menamatkan Piala ASEAN FIFA 2026 di tempat ketiga dengan tiga kemenangan dan satu seri tanpa kalah. Gawang Malaysia juga tidak pernah bolos dalam keempat-empat perlawanan, termasuk ketika menumbangkan Vietnam 1-0 dalam aksi penentuan tempat ketiga.

Keadaan di kem lawan pula jauh berbeza. China tewas dalam tiga perlawanan terakhir tanpa menjaringkan sebarang gol. Lebih memeningkan kepala, ketua jurulatih berusia 46 tahun, Shao Jiayi, terpaksa mengubah perancangan pada saat akhir selepas kehilangan dua pertahanan tengah utama, Zhu Chenjie dan Jiang Guangtai, manakala Xie Wenneng dari Shandong Taishan cedera pada perlawanan liga terakhir musim ini dan menarik diri.

Pemain pertahanan kiri Mao Weijie dari juara liga, Dalian Yingbo, serta pertahanan muda Shandong Taishan, Peng Xiao, dipanggil sebagai pengganti. Namun begitu, Peng Xiao masih perlu menyesuaikan diri dengan bola sepak senior sebelum layak dijamin tempat dalam kesebelasan utama. Benteng China yang dirombak dan belum serasi ini memberi ruang yang boleh dieksploitasi oleh penyerang Malaysia.

Harimau Malaya juga beraksi tanpa beberapa tonggak. Situasi ini membuka peluang emas kepada Suhaimi Husin, Safwan Mazlan, Dominic Tan, Ariff Farhan Md Isa dan Syafiq Ahmad untuk membuktikan kemampuan mereka di pentas antarabangsa.

Ketua jurulatih interim, Tan Cheng Hoe, menegaskan bahawa ketiadaan pemain utama tidak akan dijadikan alasan, sebaliknya dilihat sebagai peluang.

“Sudah tentu sebagai jurulatih, saya tak boleh gunakan alasan kita tak bawa pemain terbaik (untuk perlawanan ini).”

“Tapi sebagai jurulatih, saya bersikap positif kerana itu membuka peluang kepada pemain-pemain lain,” katanya.

Bekas jurulatih Selangor itu turut yakin bahawa barisan baharu skuad negara mampu tampil dengan semangat yang tinggi.

“Saya fikir pada akhirnya, pemain-pemain baharu akan menunjukkan keazaman untuk beraksi cemerlang di peringkat antarabangsa. Perkara paling penting selepas perlawanan ialah para pemain dapat menimba pengalaman dan menambah keyakinan,” tambahnya lagi.

Kenangan di Chengdu pada September 2023 menjadi suntikan semangat. Ketika itu Harimau Malaya mendahului menerusi jaringan Faisal Halim pada minit ke-11 sebelum Lin Liangming menyamakan kedudukan pada minit ke-36. Keputusan seri itu menyebabkan penyokong tuan rumah mengejek pasukan sendiri dan melaungkan tuntutan bayaran balik tiket.

Bagi peminat di Malaysia yang mahu menyaksikan aksi tersebut, perlawanan ini boleh ditonton secara percuma menerusi saluran Sukan+ di platform RTMklik.

Akses kepada siaran berkenaan juga mudah kerana peminat hanya perlu membuka platform RTMklik menerusi laman web atau aplikasi RTMklik sebelum memilih saluran Sukan+ untuk menonton perlawanan secara langsung.

Tiada langganan berbayar dikenakan bahi mengakses siaran tersebut, sekali gus memberikan pilihan kepada peminat untuk mengikuti aksi Harimau Malaya dari mana-mana sahaja dengan sambungan internet.

Selain itu, bagi pelanggan tetap Astro, siaran langsung juga boleh ditonton menerusi saluran Astro Arena Bola di Astro Go.

Selepas aksi ini, skuad negara akan berdepan Yaman, pasukan ranking ke-144 dunia, pada 17 November, iaitu satu lagi peluang untuk menamatkan tahun 2026 dengan bergaya.