Mo Salah Umum Bakal Tinggalkan Liverpool
MakanBola
Liverpool FC

Jodoh Mo Salah dan Liverpool akhirnya akan menemui titik perpisahan.

Perpisahan Mohamed Salah dan Liverpool telah diumumkan sendiri oleh pemain berusia 34 tahun itu menerusi sebuah rakaman video yang dimuat naik di laman media sosial pada awal pagi Rabu waktu tempatan.

”Hi semua, malangnya harinya telah tiba. Ini adalah bahagian pertama bagi episod perpisahan saya. Saya akan tinggalkan Liverpool pada penghujung musim ini,” kata Mo Salah dalam video berkenaan.

”Terima kasih untuk segalanya, kerana tanpa anda semua, saya tidak akan berjalan seorang diri, ucap tonggak Mesir tersebut di akhir video.

Tidak lama kemudian, Liverpool FC dalam sebuah kenyataan mengumumkan hal yang sama bagi meraikan legasi beserta pencapaian hebat Mohamed Salah sepanjang karier beliau di Anfield.

“Mohamed Salah akan mengakhiri tirai karier gemilangnya bersama Liverpool FC pada penghujung musim 2025-26,” umum The Reds tidak lama kemudian.

“Detik untuk benar-benar meraikan legasi dan pencapaian beliau akan menyusul kemudian tahun ini apabila beliau mengucapkan selamat tinggal kepada Anfield.”

Untuk rekod, Mohamed Salah menyertai Liverpool pada awal musim 2017-2018 dari AS Roma dan telah mencatatkan 435 penampilan dan menjaringkan 255 gol selain melakukan 122 bantuan jaringan.

Antara momen manis Mohamed Salah di Liverpool adalah muncul selaku juara Liga Perdana Inggeris (EPL) dua kali selain memenangi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) pada musim 2018-2019.

Claim Money Packet TnG