Bekas penyerang Kelantan FC, Mohammad Ghaddar bakal kembali ke negeri Cik Siti Wan Kembang itu.
Ini selepas wartawan Astro Arena, Fina Nasrom memaklumkan bekas penyerang Lubnan itu akan menyertai aksi amal membabitkan legenda Kelantan dan legenda Kedah pada 27 Jun ini.
Perkara itu turut dimaklumkan penganjur perlawanan selepas aksi membabitkan legenda Kelantan dan Selangor di Stadium Sultan Muhammad IV pada 21 Jun lalu.
“Selepas Dickson Nwakaeme, Mohammad Ghaddar tarikan seterusnya untuk aksi amal Kelantan Treble bertemu Kedah Double Treble pada 27 Jun depan,” katanya di X.
Aksi amal membabitkan legenda Kelantan dan Selangor menjadi tumpuan kerana kehadiran bekas peledak Nigeria, Dickson Nwakaeme dan bekas penyerang Liberia, Francis Forkey Doe.
Selain Nwakaeme dan Forkey Doe, perlawanan turut diserikan dengan kehadiran legenda Harimau Malaya seperti Indra Putra Mahayuddin, Razman Roslan dan Rudie Ramli.
Perlawanan legenda Kelantan dan Selangor menyaksikan pasukan legenda Pantai Timur itu meraih kemenangan 4-3.