Kelibat tonggak-tonggak import Liga Super diketuai Bergson da Silva memberi sokongan kepada skuad futsal Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) mencuri tumpuan penyokong.
Aksi terbaru Divisyen 1 Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) menyaksikan JDT turun menentang Shah Alam City di Stadium Bandaraya Pasir Gudang.
JDT yang dibimbing Juan Antonio Miguel Garcia memburu kemenangan bagi melebarkan jarak dengan juara MPFL musim 2023, Pahang Rangers yang berada di tangga kedua.
Kehadiran 300 orang penonton turut dimeriahkan dengan kehadiran Bergson, Murilo Henrique dan Rafael Vitor. Bergson dan Murilo merupakan tonggak utama JDT untuk musim 2024/25.
Sementara Rafael Vitor pula merupakan orang besi untuk pasukan utara tanah air, Penang FC. Trio ini disertai pemain naturalisasi Malaysia berdarah Brazil, Endrick dos Santos.
Kehadiran mereka bukan saja untuk memberi sokongan kepada JDT. Malah, mereka turut menyatakan sokongan kepada rakan-rakan senegara yang beraksi di gelanggang.
JDT diwakili dua pemain import Brazil, Bruno Taffy dan Caio Cesar Garcia Rego. Sementara Isaias Figueirido dan Kelwin Soares pula merupakan tonggak Shah Alam City.
Perlawanan ini berakhir dengan kemenangan tipis 6-5 kepada JDT dengan Taffy menyumbat gol kemenangan.
Selepas tamat perlawanan, Bergson, Endrick dan Murilo turut mengambil kesempatan beramah mesra dengan skuad futsal JDT dan bergambar bersama mereka.
Keputusan ini menyaksikan JDT kekal bertakhta di puncak Divisyen 1 dengan 27 mata. Sementara Shah Alam City di tangga keempat dengan 16 mata.
Selepas ini, JDT akan menentang Selangor FC pada 14 Julai ini. Sementara Shah Alam City pula menentang Terengganu pada 13 Julai.