Skuad futsal Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) terus bertakhta di persada Divisyen 1 Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) hari ini.
Ini selepas Harimau Selatan berjaya menewaskan Shah Alam City dalam aksi ketiga Divisyen 1 yang berlangsung di Kompleks Sukan Panasonic.
Meskipun dilabel pasukan pilihan, JDT enggan memandang rendah tuan rumah. Ini kerana Shah Alam City yang dibimbing Muizzudin Mohd Haris sebelum ini berjaya mengikat Pahang Rangers 6-6.
Atas sebab itu, Harimau Selatan tampil garang untuk memburu gol awal. JDT mendahului seawal minit pertama menerusi pemain import Brazil, Caio Cesar Garcia Rego.
Gawang Shah Alam City yang dikawal kapten, Syahman Idris bocor lagi apabila Abu Haniffa Hasan menyumbat gol kedua menerusi rembatan kencang pada minit ketujuh.
Seminit selepas itu, giliran Mahadir Harahap Khairuddin mencipta nama sebagai penjaring dengan gol ketiga buat pelawat. Keputusan 3-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, JDT yang dibimbing Juan Antonio Miguel Garcia terus memberi tekanan ke atas tuan rumah.
Malangnya, barisan pemain Shah Alam City berjaya menyerap asakan yang dikenakan oleh pelawat. Malah, mereka juga hampir-hampir menembusi gawang JDT jika tidak kerana kecekapan penjaga gol, Aiman Fikry Ramli.
Strategi power play Shah Alam City untuk mendapatkan gol memakan diri apabila Caio Cesar meledakkan gol keempat pelawat pada minit ke-27.
Isaias Figueirido memastikan Shah Alam City meraih gol saguhati pada minit ke-40. Keputusan 4-1 kekal sehingga tamat perlawanan.
Keputusan ini membolehkan Harimau Selatan kekal bertakhta di persada Divisyen 1 dengan sembilan mata. Sementara Shah Alam City di tempat ketiga selepas dipintas Gombak TOT United.