Skuad Johor Darul Ta’zim (JDT) menerima habuan besar setelah mempamerkan aksi cemerlang dalam saingan Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) 2024.
Saingan MPFL musim 2024 telah pun melabuhkan tirainya hujung minggu lalu dengan JDT Futsal ditabalkan sebagai juara setelah mengungguli carta liga dengan mengutip 39 mata.
Pada aksi terakhir Sabtu lalu, JDT menutup kempen liga dengan kemenangan 3-0 ke atas Gombak TOT United di Pasir Gudang sekaligus mengesahkan kejuaraan pertama buat skuad Harimau Selatan.
Hasil kemenangan, JDT meraih hadiah wang tunai bernilai RM50,000 selaku juara yang disampaikan oleh Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Haji Rosmadi Ismail.
Manakala, skuad futsal Selangor yang muncul naib juara MPFL berjaya membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM30,000 setelah mengumpul 33 mata daripada 15 aksi.
Bagi anugerah individu, dua pemain JDT, Mohd Firdaus Ambiah dan Aiman Fiqry Ramli telah dinobatkan sebagai Pemain dan Penjaga Gol Terbaik MPFL Divisyen 1 2024 ini.
Selepas ini, 8 pasukan terbaik iaitu enam pasukan teratas MPFL Divisyen 1 bersama 2 pemenang perlawanan playoff akan layak ke Malaysia Futsal Cup (MFC) 2024 yang bakal bermula September ini.