MPFL: Pahang Rangers Tak Bagi Muka, Bedil Selangor 8-4
UltraSukan
Pahang Rangers FC
Advertisements

Juara Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) musim 2023, Pahang Rangers merekodkan kemenangan pertama liga untuk musim 2024.

Pasukan yang dibimbing jurulatih Sepanyol, Gerard Casas itu membelasah skuad futsal Selangor FC 8-4 di Stadium Tertutup Sukpa hari ini.

Selepas seri 6-6 dengan Shah Alam City pada minggu lepas, Pahang Rangers mahu bangkit untuk mengutip kemenangan pertama.

Advertisements

Azam sama mahu dilakar Selangor selepas tewas mengejut 3-2 kepada skuad futsal Sabah dalam aksi pertama MPFL musim 2024.

Hajat Merah Kuning meraih kelebihan awal tidak kesampaian apabila tuan rumah mendahului seawal minit pertama menerusi Murilo Saad.

Belum sempat Selangor pulih daripada gol awal Murilo, mereka semakin ketinggalan menerusi gol Felipe de Souza.

Advertisements

Bekas pemain import Melaka United itu tenang menyudahkan hantaran rakan sepasukan, Harith Naim Mohd Nasir melepasi penjaga gol Selangor, Syawal Sabarudin pada minit ketiga.

Seminit kemudian, Amirul Khairuddin mencipta nama sebagai penjaring dengan menolak bola hantaran kapten, Akmarulnizam Mohd Idris melepasi Syawal.

Meskipun Selangor memasukkan penjaga gol gantian, Syaifuddin Syukri Ibrahim Lincoln menggantikan Syawal, Pahang Rangers terus memberi tekanan untuk mendapatkan gol tambahan.

Advertisements

Hasilnya, Hamdin Zarif Mahmun mencipta nama sebagai penjaring gol pada minit ke-12. Keputusan 4-0 kekal sehingga rehat.

Bersambung selepas rehat, Selangor menggunakan taktik power play bagi mendapatkan gol. Hasilnya, Syahir Iqbal Khan Akbar Khan merapatkan jurang menerusi tolakan mudah pada minit ke-23.

Pahang Rangers semakin goyah apabila kapten, Khairul Effendy Mohd Bahrin meledakkan gol kedua Merah Kuning seminit selepas itu.

Advertisements

De Souza kembali memulihkan keyakinan Pahang Rangers dengan meledakkan jaringan kelima tuan rumah pada minit ke-28.

Taktik power play yang digunakan Selangor terus dieksploitasi tuan rumah menerusi jaringan keenam yang dihasilkan Hamdin Zarif dua minit selepas itu.

Perlawanan semakin panas apabila pengadil Amirul Aizat Mohd Lodin melayangkan kad merah kepada Harith Naim.

Ini selepas beliau mengesan insiden kekasaran membabitkan Harith Naim dan pemain Selangor di luar gelanggang.

Pahang Rangers semakin selesa di hadapan menerusi de Souza. Bekas pemain Melaka United itu mencipta hatrik dengan menyempurnakan penalti yang menewaskan Syaifuddin pada minit ke-33.

Meskipun jauh ketinggalan, Selangor terus berusaha memberi tentangan hebat. Matheus Silva meledakkan gol ketiga Merah Kuning pada minit ke-35.

Dua minit kemudian, giliran Hamdin Zarif mencipta hatrik. Selepas mengesan Syaifuddin berada di luar gawang, beliau melepaskan rembatan melepasi jangkauan lawan dan terus masuk ke gawang Selangor.

Silva kemudiannya merekodkan gol keduanya dalam MPFL dengan menyumbat gol keempat Merah Kuning pada minit ke-38. Keputusan 8-4 kekal sehingga tamat perlawanan.

Keputusan ini membolehkan Pahang Rangers memintas Sabah, Terengganu dan Gombak TOT United untuk menduduki tangga kedua divisyen satu MPFL dengan empat mata.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram