Advertisement
MPFL: Sabah Cipta Kejutan Tundukkan Selangor
UltraSukan
UltraSukan
Selangor FC Futsal

Selangor terpaksa menelan kepahitan setelah tumpas di aksi pertama Malaysia Premier Futsal League (MPFL) 2024 kepada Sabah.

Aksi yang berlangsung di Kompleks Sukan Negara (KSN) Panasonic, Shah Alam menyaksikan tuan rumah dikejutkan dengan jaringan awal oleh pemain import Sabah, Felipe Da Silva seawal minit keempat.

Selangor lantas bangkit merencanakan serangan demi serangan namun ketangkasan penjaga gol Sabah, Mohd Faezwan Ashwandie mengecewakan jentera serangan Selangor.

The Red Giants berjaya akhirnya menembusi gawang Sabah menerusi Syahir Iqbal Khan namun pengadil membatalkan gol tersebut atas dakwaan terdapat tolakan oleh Syahir ke atas pemain Sabah.

Keputusan 0-1 memihak pelawat kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Kembali dari rehat, Selangor tidak menunggu lama untuk memecah kebuntuan menerusi pemain kebangsaan, Syed Aizad yang pantas menyambar hantaran lolos rakan sepasukan.

Perlawanan bertambah rancak apabila Felipe Da Silva sekali lagi mencuri tumpuan dengan gol kedua Sabah hasil rembatan kencang kaki kanannya pada minit ke-22.

Suasana di KSN Panasonic Shah Alam kembali riuh setelah tuan rumah berhasil menyamakan kedudukan menerusi Faris Johan pada minit ke-35.

Seminit kemudian, Sabah yang dibimbing Patt Sriwijit kembali mendahului buat kali ketiga hasil penyudah Azim Mohamad sekaligus menceriakan penyokong pasukan pelawat.

Tamat aksi, Selangor 2-3 Sabah.

Selangor akan meneruskan aksi liga berdepan juara bertahan, Pahang Rangers di Stadium Tertutup Sukpa, Kuantan manakala Sabah akan dijadualkan menentang Gombak TOT United yang tewas besar kepada JDT semalam.