Sebuah hantaran oleh kelab Indonesia, Persis Solo mencuri tumpuan peminat Malaysia apabila terdapat menara KLCC bersama lagu Isabella.
Persis Solo sememangnya tidak asing buat peminat bola sepak di Malaysia apabila dibimbing oleh bekas jurulatih pasukan kebangsaan dan Sabah, Ong Kim Swee musim lalu.
Walau bagaimanapun, jodoh Kim Swee dan Persis Solo tidak bertahan lama apabila jurulatih berusia 55 tahun itu ketika ini sah melatih sebuah lagi kelab Liga Indonesia, Persij Kendiri.
Sungguhpun begitu, Persis Solo masih lagi menjadi tumpuan peminat dari Malaysia apabila memuat naik sebuah hantaran yang dilihat berkaitan dengan negara ini.
Hantaran tersebut menyaksikan Menara Berkembar Petronas (KLCC) berdiri megah bersama sebuah tren LRT, bunga raya dan juga dua ekor burung yang menjadi bualan hangat ramai.
Ditambah pula hantaran di Instagram itu turut menggunakan lagu Isabella yang dinyanyikan oleh band terkenal Malaysia, Search yang buatkan rakyat Malaysia terkejut dan tertanya-tanya.
Ada yang berpendapat bakal ada pemain dari Malaysia yang bakal direkrut oleh Persis Solo untuk musim hadapan malah sesetengah darinya mula untuk mengaitkan beberapa nama pemain.
Nama duo KL City, Ryan Lambert dan Declan Lambert antara yang menjadi sebutan dan perhatian kerana petanda menara KLCC yang berkembar dan dilihat amat mengenai pasangan kembar itu.
Walau bagaimanapun masih belum ada pengesahan rasmi dari kelab Persis Solo mengenai hantaran tersebut malah segala komen netizen di ruangan tersebut masih bersifat khabar angin.