Pengendali Persis Solo, Datuk Ong Kim Swee memiliki impian untuk membawa pemain Malaysia beraksi di liga Indonesia.
Sebelum ini, ada beberapa pemain negara yang pernah beraksi di Liga 1 Indonesia. Antara yang pernah berbuat demikian ialah Safee Sali, Junior Eldstal dan Kiko Insa.
Kim Swee percaya kehadiran pemain negara dalam saingan liga berkenaan mampu memberi manfaat kepada mereka.
Ini kerana pengalaman beraksi di luar negara terutama di negara serantau seperti Indonesia mampu memberi pengalaman baru kepada pemain Malaysia.
“Ya, saya akan melihat keadaan selepas ini. Dan sudah tentu saya ada perancangan jika berpeluang untuk mendapatkan pemain-pemain Malaysia beraksi di liga Indonesia.
“Ini mungkin akan menjadi satu pengalaman baru dan membuka peluang buat pemain-pemain Malaysia beraksi di Indonesia,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
Meskipun begitu, Kim Swee mahu fokus membantu Persis merealisasikan misi kekal dalam saingan Liga 1 Indonesia terlebih dahulu.
“Tetapi saya percaya pada pusingan kedua, kita telah menunjukkan sedikit peningkatan. Namun, kita masih belum terselamat daripada zon penyingkiran.
“Maka, itu menjadi tugas utama saya memastikan Persis Solo kekal berada dalam Liga 1 untuk musim depan,” ujarnya.
Persis Solo ketika ini menduduki tangga ke-18 liga dengan 18 mata, dua mata di belakang Semen Padang yang menduduki tangga ke-15.