Penjaga gawang Kelantan Darul Naim, Muhaimin Mohamad optimis kelemahan di barisan pertahanan akan segera diperbaiki menjelang aksi Liga Super berdepan PDRM nanti.
Muhaimin yang turun dalam perlawanan pusingan 16 terbaik Piala FA berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) minggu lalu tampil penuh cemerlang meskipun dibolosi empat gol dalam aksi tersebut.
Dalam satu temu bual bersama pihak Malaysian Football League (MFL), Muhaimin menjelaskan bahawa sebagai seorang penjaga gol, angka tersebut amat besar baginya untuk dibolosi.
“Bagi setiap penjaga gol, bolos sebanyak empat biji secara peribadi adalah satu jumlah yang sangat banyak” jelas Muhaimin kepada pihak MFL.
Tambahnya lagi, kelemahan di barisan pertahanan akan segera diperbaiki meskipun gawang pasukan sudah dibolosi sebanyak tujuh gol dalam tiga perlawanan awal Liga Super sebelum ini.
“Mungkin kita sudah bolos tujuh gol (dalam saingan Liga Super) musim ini namun saya percaya kami mampu untuk lakukan yang lebih baik untuk perbaiki kelemahan ini” tambah penjaga gol berusia 32 tahun itu.
Kelantan Darul Naim akan melayani kunjungan PDRM dalam aksi keempat Liga Super 2024/2025 pada Ahad di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu dengan sepak mula perlawanan dijadualkan jam sembilan malam.