Advertisement
Muhaimin Tolak 6 Tawaran Demi Mahu Berbakti Kepada Kelantan
Dunia
MakanBola
Muhaiminizu

Bintang muda meningkat naik Kelantan, Muhaimin Izuddin Muhd Asri mendedahkan telah menolak banyak tawaran daripada kelab lain demi mahu terus berbakti kepada negeri kelahirannya.

Yang membuatkan pemain berusia 20 tahun itu lebih terharu, kesungguhan ditunjukkan oleh pihak pengurusan bagi mengekalkan khidmatnya bersama kelab itu.

Bekas pemain skuad Projek FAM-MSN itu menganggap ia sebagai ganjaran kepada kerja keras ditunjukkannya sepanjang musim ini telah menjadi antara sandaran utama Rezal Zambery Yahya terutama ketika penghujung saingan Liga Malaysia 2022.

Dia diturunkan 12 kali dengan lapan daripadanya adalah di dalam kesebelasan utama dan kualiti ditunjukkannya turut berjaya menambat hati penyokong The Red Warriors.

“Pengurusan telah menunjukkan kesungguhan untuk saya kekal di sini apabila awal-awal lagi mereka mahu saya kekal di sini dan saya berasa sangat terharu.

“Mewakili negeri sendiri sememangnya satu perasaan berbeza yang sangat sukar digambarkan malah menerusi sokongan padu penyokong Kelantan, membuatkan saya sentiasa bersemangat tiap kali beraksi.

“Sebab itu, saya menolak tawaran antara 5 ke 6 pasukan lain untuk kekal di Kelantan kerana masih belum puas berbakti untuk Kelantan.

“Harap musim baharu nanti, saya akan dapat beraksi lebih kerap dalam kesebelasan utama dan paling penting, boleh menjaringkan gol, salah satu perkara yang saya gagal buat pada musim ini,” kata Muhaimin.

Selain Muhaimin, Kelantan setakat ini telah mengumumkan mengekalkan enam lagi pemain iaitu Arip Amiruddin, Syahir Rashid, Ikhwan Yazek, Syaqimi Rodzi, Fazrul Amir dan Yusri Yushamadi.

Sebelum ini, pemilik kelab pantai timur itu, Norizam Tukiman (Zamsaham) menyatakan dengan barisan pemain yang dikekalkan dan akan dibawa masuk, skuad The Red Warriors berpotensi untuk mencabar kedudukan 10 teratas.

Bagi Muhaimin, sasaran itu relevan dan boleh dipenuhi malah dia sendiri optimis dapat membantu Kelantan memberikan tentangan sengit meskipun rata-rata pemain akan merasai pengalaman pertama kali bermain di Liga Super.

“Pasti Kelantan bakal berdepan cabaran hebat kerana musim baharu, kita akan bersaing dengan semua pasukan selain jumlah perlawanan yang semakin banyak.

“Setelah apa yang dilihat pada musim lepas, saya percaya Kelantan mampu hadirkan cabaran jika kita berjaya mendapatkan import yang boleh hadirkan impak luar biasa.

“Berdasarkan format baharu, saya rasa ini sesuatu yang menarik kerana lebih banyak perlawanan dan baik juga kepada penyokong untuk lebih kerap hadir ke stadium,” ujar Muhaimin lagi.