Pemain tengah muda Malaysia, Muhammad Abu Khalil mula mengambil langkah di bumi Jepun dengan menyertai sesi latihan pasukan barunya, FC Osaka.
Pemain tengah berusia 18 tahun itu menyertai Osaka secara pinjaman selama enam bulan dari kelab gergasi Lembah Klang, Selangor FC.
Muhammad dapat menyertai pasukan J3 League itu selepas menamatkan tugasan untuk skuad Malaysia Bawah 19 Tahun (B-19) pada akhir Julai lalu. Beliau membantu skuad muda negara menamatkan kempen Kejohanan ASEAN B-19 2024 di tempat keempat.
Dan kini, Muhammad mula menjalani sesi latihan bersama pasukan yang dibimbing Naoto Otake itu. Gambarnya turut dimuat naik ke platform media sosial rasmi Osaka baru-baru ini.
Muhammad kelihatan gembira menjalani latihan bersama pasukan yang berpangkalan di Higashiosaka, Osaka itu. Malah, rakan-rakan sepasukannya sudah mempunyai nama panggilan buat pemain tengah berkenaan.
“Rakan-rakan sepasukan panggil saya Matt,” katanya dalam satu hantaran terbaru FC Osaka di Instagram beberapa hari lalu.
Muhammad menjadi tonggak import terbaru pasukan J3 League itu selepas Joao Moura, Cho Young-kwang, Woo Sang-ho, Ji Seong-min dan Everton Kanela.
Beliau berpotensi diturunkan untuk aksi liga seterusnya membabitkan Osaka dan Imabari pada 17 Ogos ini.