Mukhairi Ajmal Hukum Kelalaian Pertahanan Terengganu

Mukhairi Selangor 1 Mukhairi Ajmal Hukum Kelalaian Pertahanan Terengganu
Foto: Selangor FC
Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram MakanBola.

Kecemerlangan bintang muda Selangor, Mukhairi Ajmal menjadi nadi ketika pasukannya mencatatkan kemenangan ke atas Terengganu hari ini.

Pemain berusia 21 tahun itu kini memainkan peranan yang cukup penting buat The Red Giants apabila seringkali mendapat tempat dalam kesebelasan utama pasukan.

Beliau jelas menampilkan persembahan yang luar biasa apabila menyumbang tiga bantuan gol sekaligus memberi bekalan selesa buat anak didik Tan Cheng Hoe berkunjung ke Terengganu.

Tatkala Selangor ketinggalan, kapten pasukan bawah 23 tahun negara ini melakukan satu hantaran lintang yang cukup cantik sebelum ditanduk masuk oleh rakan sepasukan untuk gol penyamaan.

Beliau sekali lagi menghukum kealpaan benteng Terengganu apabila hantaran sepakan sudutnya sekali lagi membuahkan jaringan.

Hantaran-hantaran tepatnya seringkali membuka ruang kepada rakan sepasukan selain kebijaksanaannya mencari larian-larian memberi masalah buat anak didik Nafuzi Zain.

Mukhairi melengkapkan malam gemilang menundukkan Terengganu dengan hatrik bantuan gol yang ditanduk cantik oleh Sharul Nazeem Zulpakar.

Penampilan ini membuktikan kaliber beliau untuk terus mengemudi jentera tengah pasukan bagi aksi timbal balik di Gong Badak.