Skuad Myanmar mempamer bisa tersendiri apabila berjaya mengikat Australia dalam aksi pertama peringkat kumpulan B Kejuaraan Futsal Asean 2024.
Kedua-dua pasukan turun buat kali pertama selepas beraksi di pentas AFC Futsal Asian Cup 2024 di Thailand pada April lalu dengan Myanmar dan Australia terkandas di peringkat kumpulan.
Barisan pemain Myanmar diketuai oleh Myo Myint Soe dan Mai Soe Myat Htwe ditugaskan untuk mengawal pintu gol manakala Australia dibarisi nama-nama seperti Ethan De Melo.
Australia tidak memerlukan waktu yang lama untuk mencetak gol pendahuluan menerusi kapten pasukan Wade Giovenali yang menyambar voli daripada Corey Sewell pada minit ke-4.
Seakan tersentak, Myanmar terus bangkit dan berhasil untuk menyamakan kedudukan 1-1 hasil percubaan jarak jauh oleh penjaga gol, Mai Soe Myat yang menerjah ke gawang lawan.
Pada minit ke-19, Ethan De Melo meletakkan Futsalroos di hadapan buat kali kedua setelah menyambut hantaran dari rakan sepasukan berpunca dari sepakan penjuru.
Separuh masa pertama tamat, Myanmar 1-2 Australia.
Kembali dari rehat, Myanmar berhasil mengikat kedudukan buat kali kedua perlawanan dengan jaringan Linn Tun Kyaw tiga minit bersambung permainan di babak kedua.
Kapten Australia, Wade Giovenali sekali lagi mengukir nama selaku penjaring untuk pasukan di ranking ke-49 dunia ini mendahului ke atas Myanmar buat kali ketiga dalam aksi ini.
Ketika permainan berbaki 2 minit, Myanmar akhirnya berjaya meranapkan impian tiga mata Australia dengan gol daripada Htut Wai Tun menerusi ledakan kaki kanan yang padu.
Aksi di Terminal 21 Korat berakhir dengan keputusan seri 3-3.
Perlawanab seterusnya buat Australia adalah berdepan jaguh Asia Tenggara iaitu Indonesia manakala Myanmar bertemu Kemboja pada Selasa di venue yang sama.