Bek tengah baru Arsenal, Jurrien Timber diharap dapat mempamerkan persembahan lebih mantap bila bersaing dengan pemain sayap Chelsea, Mykhailo Mudryk.
Ini kerana pemain sayap Ukraine itu pernah membuatkan Timber tak tentu arah semasa Shakhtar Donetsk menjadi lawan kepada Ajax Amsterdam dalam satu aksi persahabatan pada 27 Julai 2022.
Menerusi satu video TikTok yang dikongsikan di media sosial, ramai merasa kagum melihat kelincahan Mudryk mengatasi Timber sebelum menjaringkan gol tunggal untuk Shakhtar.
Biarpun kelab Ukraine itu tewas 3-1 kepada Ajax, itu menyerlahkan bakat Mudryk sebagai pemain sayap muda yang merbahaya.
Dengan Timber dibawa ke Stadium Emirates dengan harga £40 juta (RM237 juta) dari Ajax, pengurus Arsenal, Mikel Arteta pastinya mahu bek tengah Belanda itu menjadi lebih bagus musim ini.
Arsenal dan Chelsea bakal berentap dalam musim baru Liga Perdana Inggeris (EPL) pada 21 Oktober ini. Dan ramai tak sabar melihat Mudryk dan Timber kembali bersaing dalam perlawanan berkenaan.