Legenda bola sepak negara, Datuk Dollah Salleh melihat Nafuzi Zain antara calon terbaik mengemudi skuad Malaysia Bawah 20 Tahun (B-20).
Pandangan itu dibuat beliau lebih-lebih lagi Malaysia akan mengharungi Kejohanan ASEAN B-19 yang akan berlangsung pada Jun ini.
Dollah melihat Nafuzi calon terbaik untuk mengemudi pasukan itu dengan mengambil kira pencapaian beliau. Ini termasuk pencapaian pingat gangsa Sukan SEA 2025 bersama skuad Malaysia B-23.
“Saya harap Coach Nafuzi dapat buktikan sesuatu dan bagi saya, dia memang layak berada di tempat itu.
“Dan itu boleh menambahkan lagi pengalaman dia walaupun turun peringkat umur, pengalaman dari segi menjaga pemain-pemain muda,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
Sebelum ini, tugas membimbing skuad Malaysia B-20 dipikul jurulatih Sepanyol, Juan Torres Garrido pada 2024. Walau bagaimanapun, beliau hanya bertahan kurang daripada setahun.
Selepas meninggalkan kem negara, Garrido kemudiannya berkelana ke Indonesia dan Croatia. Beliau kini memikul tugas sebagai jurulatih Sabah FC.
Reputasi jurulatih tempatan kembali mencuri perhatian apabila Shukor Adan membimbing skuad Malaysia B-16 layak ke final Kejuaraan B-17 ASEAN 2026.
Anak buah Shukor berharap dapat mengulangi pencapaian bergelar juara yang diraih pada edisi 2019. Malaysia akan menentang Vietnam di final pada Jumaat.